Assalamualaikum…

Cerita ini adalah mengenai arwah Abah saya Cikgu Ma’arof Sarpan. Dia adalah Ahli Khasyaf, iaitu orang yang diberikan kelebihan oleh Allah, keupayaan pandang tembus. Dia dapat melihat dan berbual-bual dengan roh-roh para Nabi, malaikat, jin, hantu, syaitan, orang-orang bunian. Dia juga dapat berpeluang melihat Lauh Mahfuz, Kursiy, Sangkakala dan lain-lain.

Sejak kecil lagi sebelum dia khasyaf, dia telah didedahkan dengan alam ghaib (sekali-sekala). Abah saya pernah menceritakan, dia pernah melihat bayang-bayang jin melintas ketika dia bermain guli di tengah-tengah lapangan, waktu tengah hari.

Pernah satu masa kecilnya, ketika waktu malam, dalam perjalanan balik ke rumah, dia didukung oleh Atok saya, Sarpan (Wak Pan). Pada malam itu di jalan kampung yang sempit, mereka terserempak dengan sekumpulan jin yang baru balik dari perkuburan. Jin-jin tersebut telah mencuri usus-usus manusia yang mati kerana wabak taun.

Ketika remaja pula, waktu balik dari pekan, dia terpaksa pula tidur di surau kerana rumah Bapa dan Mak angkatnya sudah dikunci. Pada malam itu, seekor jin telah menyapanya yang tidur di surau. Demikianlah sedikit pengalaman pra-khasyaf yang telah diceritakan oleh arwah Abah saya.

Mulanya dia mendapat khasyaf ialah setelah 2 tahun dia mengamalkan Tareqat Naqsyabandiah, Qadiriah dan Doa Haikal. Susahnya hendak control kelebihan matanya, hingga orang menganggap bahawa Cikgu Ma’arof sudah gila isim. Kerana guru tareqatnya sudah tua, uzur dan banyak diamnya.

Keadaan beliau telah diselamatkan dengan datangnya roh Syeikh Ismail Pulau Besar, Melaka. Syeikh Ismail telah menjemputnya ke Pulau Besar untuk berguru dengannya. Kami telah pergi ke Pulau Besar pada tahun 1971. Masa menunggu solat maghrib, tiba-tiba Emak saya berkata, “Tuh hah Lil, orang pakai jubah serban, cantik..!!” (saya berada di sebelah Mak saya, sebab masa tu belum…masih kecil). Maka, maghrib itu kami berempat (local imam, Abah saya, Mak saya dan saya) bersolatlah bersama Syeikh Ismail dan Syeikh Yusuf yang keluar dari maqam mereka. Itulah pertama kali saya berpeluang melihat orang-orang roh… (mungkin, lain kali ada, kot??).

Pulau Besar, Melaka
Selepas solat, tiba-tiba Abah saya terperasan yang kedua-dua orang roh tadi, doa ringkas saja, dan terus menghala ke maqam. Melihatkan Abah saya bingkas untuk mengejar mereka melalui pintu depan surau, saya pun faham dan terus kejar melalui pintu belakang. Tapi mereka dah hilang… Ghaib…!!!

Tapi pada malam itu, Abah saya telah berguru dengan Syeikh Ismail tentang hal-hal kerohanian dalam mimpi.

Abah saya, kerana tidak mempunyai mursyid yang membimbing, maka dia banyak lah bertanya dengan orang-orang roh, termasuklah Wak Kandar (Iskandar), Wak Ehsan, dan seorang Syeikh dari Mekah yang namanya dirahsiakan. Beliau juga mendapat ilmu tentang roh dari Al-Roh sendiri, Malaikat Jibril. Namun, ilmu yang dibenarkan diajar kepada saya hanyalah sedikit sahaja. Juga telah diajar kepada kita oleh Abuya Sohibuzzaman di dalam buku-buku mursyid kita itu. Sama sahaja, cuma istilahnya sahaja yang berbeza. Apa yang tak diajar oleh Abuya, janganlah ditanya-tanya jika kita tak mampu menerimanya. Kena tanya Rasulullah sendiri, kerana Baginda lah “Rahsia segala Rahsia”.

Rasulullah, Sayidi Syeikh dan Abuya mengajar kita praktikalnya dan bagi yang menyelami, menghayati praktikal, akan terbuka ilmunya secara detail. Yang penting praktikalnya, bukan ilmunya. Ilmunya susah nak diterangkan, takut anak-anak dan pengikut-pengikut yang simple-minded terkeliru pula. Janganlah jadi macam para intelek sekarang ni, baik doctor ke, engineer ke, professor ke, banyak sangat baca berjenis-jenis ilmunya, entah dari apa-apa sumber, dah bercelaru, macam rojak dalam otak yang sempit itu. Dah confused!! Ilmu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang pure dah diracuni dengan fahaman-fahaman Yahudi, Wahabi, Syiah, secularism dan lain-lain tanpa disedari.

Sebab itulah ilmu roh yang diajar oleh Al-Roh, tidak boleh di publish. Maka manuskripnya telah Abah saya bakar di bawah pokok nangka. Sebab kebanyakan orang sekarang, ilmu asas tauhid nya tak kuat. Jika 10 orang yang baca, 7 orang akan keliru dan tersesat akidah, 3 orang sahaja yang akan selamat. Biarlah rahsia tetap sebagai rahsia.

Abah saya menggunakan kelebihannya untuk menolong dan mengubat orang yang kena sihir (dan yang sewaktu dengannya). Memang saya perhatikan sejak tahun 1970, dia banyak menolong orang, dengan amalan tareqatnya. Abah saya memang “geng baik” yang melawan “geng jahat”. Tidak ada sama sekali amalan pelik-pelik yang jenis bela-bela hantu, jin, pelesit dan yang sewaktu dengannya.

Pernah seekor “Kak Pon” dan seekor jin datang nak minta Abah saya jadi tuan (yang bela), kena perhambat lah depa dengan penyapu lidi. Malam itu jam 2.30 pagi, saya terdengar Kak Pon ketawa menghilai-hilai depan rumah sebab dah jumpa rumah kami. Saya tak mau masuk campur, tarik selimut terus tidur…

Adapun, pertama kali Abah saya berjumpa dengan Rasulullah secara jaga (yaqazah) adalah pada tahun 1979.

Masa itu, malam selepas isyak, saya bersama-sama kawan saya, Yom (Baharom) sedang tengok ceritamelayu di tv. Siapa pun di dalam dunia ini, kalau dapat mengembara secara roh dan berjumpa dengan Rasulullah di Madinah, tentulah suka sangat, kan? Namun pada siapa nak ceritakan pengalaman manis itu? Adik-adik saya kecil lagi dan dah tidur. Mak saya pun dah tidur. Abang saya di asrama. Jadi saya dengan Yom lah targetnya.

“Lil, baru kejap tadi Abah pergi ke Mekah, solat lepas tu pergi Madinah, jumpa Rasulullah” kata beliau.

“Abah pergi secara roh sahaja, atau dengan jasad?” tanya saya.

Terperanjat orang tua tu. Agaknya dalam hatinya “Ek eh, budak ni percaya pulak?!”.

“Roh sahaja”, kata Abah saya.

Dan kemudian diceritalah dengan detail kepada saya dan Yom pengembaraannya itu.

Apa pulak tak boleh percaya? Benda-benda macam tu boleh berlaku kepada “geng baik”. Sejak kecil hingga umur saya 15 tahun pada masa itu, saya dah dengar, baca dan hayati tentang peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah, kembara roh dan jasad tu…!!

Saya tahu Abah saya tak tipu, sebab sebelum tu saya nak tukar bertuala sebab nak buang air, saya lihat Abah saya asyik dok zikir di sejadah. Jasadnya di situ lah. Roh tidur (roh tamyiz) sahaja yang keluar. (Bacalah buku Abuya; Pendidikan Rapat dengan Rohaniah Manusia. Baca jangan tak baca..!)

Selepas itu, banyak kali lah Abah saya ‘contact’ Rasulullah SAW seperti lah pengalaman ulama-ulama ASWJ yang terdahulu, Imam Ghazali, Imam Abu Hassan Al-Ashaari, Syeikh Ma’arof Al-Khurki, dan lain-lain. Carilah catatan pengalaman mereka dalam kitab-kitab ASWJ sahaja, yang ada. Dalam kitab-kitab fahaman lain tak ada. Bahkan mereka menolaknya (perkara yaqazah ini).

Satu peristiwa yang mencarik hati Abah saya ialah apabila saya failed university, balik kampung, tak mau belajar lagi, dan masuk Al-Arqam pulak tu… (Nak belajar agama dulu lah…). Pulak tu, saya balik kampung je, dah pakai jubah serban, dah pegang-pegang tasbih. Tambah bengang lagi arwah Abah saya tu, bila kawan-kawan dia tanya pulak pasal saya yang dah tak belajar di university lagi dan masuk Arqam pulak dah…

Punya lah bengang orang tua tu, nak rujuk kepada siapa? Maka dia pun munajatlah minta jumpa Rasulullah untuk bertanya. Yaqazah je, dia pun tanya lah pasal Al-Arqam dan Ustaz Ashaari (Abuya). Lebih kurang, Rasulullah jawab, “Perjalanan Arqam dan Ashaari itu betul. Boleh ikut, benarkan dia ikut…”

Bila saya balik kampung sekali lagi je, layanan dia tak macam dulu. Kalau dulu cool tapi bengkek je, tapi sejak tu, balik kampung je, ada lauk sedap-sedap, dapat duit kocek dan dapat hadiah motor Honda Kapcai pulak tu…!!

Ketika serangan arwah Ustaz Mokhtar Yaakob kepada Abuya dan Al-Arqam, Ustaz Mokhtar Yaakob pengamal Tareqat Naqsyabandiah, mengatakan yang amalan Aurad Muhammadiah tak sampai kepada Rasulullah kerana tak logic Sayidi Syeikh Imam Mahdi (SSIM) dapat aurad dari Rasul. Amalan terputus, kata dia, tak macam Naqsyabandiah yang amalan nya melebihi 70 keturunan.

Sekali lagi Abah saya bengang, tapi positif. Dia kata, “Siapa kata amalan kau putus, tak sampai kepada Rasulullah??” Bila kau baca Fatihah aja, Abah Nampak ada talian Nur dari kau, kepada Ustaz Ashaari, terus pulak ke Madinah, masuk ke Maqam Rasulullah.”

Ya lah, orang khasyaf macam tu lah. Pandang tembus. Kita bukan orang-orang roh, Nampak apa? Tahunya baca aja lah… Yakin aja lah… Tapi mereka, orang-orang roh, dah sampai tahap Ainul Yaqin, di dunia ini lagi ! Macam-macam mereka nampak. Kita, tak teringin ke?

Bila saya sampaikan kepada Abah saya tentang keyakinan kita tentang Sayidi Syeikh As-Suhaimi akan muncul semula sebagai Imam Al-Mahdi, Abah saya pun munajat lagi. Kali ini, dia tanya Rasul, “Ya Rasulullah, betul ke macam yang Ustaz Ashaari kata, Syeikh Suhaimi akan muncul semula sebagai Imam Mahdi?”.

Jawab Rasul (lebih kurang begini) “Ya betul. Tak ada orang lain lagi, dialah Imam Mahdi”.

Perkara Imam Mahdi memang disebut dalam hadis-hadis Rasul. Tapi orang-orang Syiah menggunakan isu ini untuk menguatkan ideology mereka. Tapi sampai la ni, tak de pun mereka tonjolkan Imam Mahdi mereka. Sedangkan Abuya dah lama dah tunjukkan orang nya, siap gambarnya sekali pulak tu. Dan dah di confirm kan oleh Abah saya yang tak ada kepentingan langsung dalam jemaah Abuya

Tapi, apa pasal pulak ada orang kata, jemaah Abuya terpengaruh dengan Syiah pulak? Seolah-olah mereka kata arwah Abah saya Syiah lah macam tu? Ada fahaman Syiah lah? Meninggal dunia sebagai Syiah lah? Sebab dia meninggal dunia dengan yakini Sayidi Syeikh As-Suhaimi itu Imam Mahdi.

Seolah-olah mereka mengatakan yang Abah saya mati sesat lah tu… Sebab yakin dengan perjuangan Abuya dan Sayidi Syeikh As-Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Sedangkan Abah saya lulus Sekolah Agama Johor, dibesarkan dan dididik dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kahwin pulak dengan Mak saya yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Johor, yang kita tahu Negeri Johor kuat ASWJ nya, dengan kitab Risalah Tauhid nya.

Sedangkan saya yang banyak bersama dengan nya, baik di rumah, di pantai, atau di hutan. Tak pernah pulak saya dengar dia cakap pasal ajaran lain selain ASWJ.

Ini pulak ada orang kata yang Abah saya meninggal dengan fahaman Syiah, atau mati sesat. Macam ni, saya pulak yang bengang!!

Khairil Anwar bin Maarof
(SUNAN GAWE)
2011

 


Comments




Leave a Reply

    Author

    Raja Marzuqi T.Mansor
    Ejen Hartanah Nilaiharta Consutant Sdn. Bhd.(564594-u)
    p.  019 -748 -769- 7
    e.   jugra786@gmail.com

    Raja Marzuqi 
    bin
    Raja Mansor 
    bin 
    Raja Abdul Samad 
    bin
    Raja Wok 
    bin 
    Raja Kahar 
    bin 
    Sultan Abdul Samad 
    bin 
    Raja Abdullah 
    bin
    Sultan Muhammad
    bin 
    Sultan Ibrahim 
    bin 
    Raja Lumu 
    bin 
    Upu Daeng  Chelak 
    bin 
    Upu Tanderi Bureng Daeng Rilaga 
    bin 
    Upu Lamadusellah (LOWOK) 
     

    Archives

    November 2012
    October 2012
    May 2012
    April 2012
    March 2012

    Categories

    All
    Harun Yahya

      “Orang mukmin tidak mati. Mereka hanya meninggalkan hidup yang sementara ini dan pergi kepada kehidupan abadi” . Dan mereka lakukan di sana apa yang mereka lakukan dalam dunia. Nabi s.a.w bersabda, “Nabi-nabi dan orang-orang yang hampir dengan Allah terus beribadat di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah mereka”. Ibadat yang dimaksudkan itu adalah penyerahan dan merendahkan diri rohani kepada Allah bukan sembahyang yang lima waktu sehari. Tawaduk yang di dalam diri, dengan diam, adalah nilai utama yang menunjukkan iman yang sejati.Daripada Ibnu Umar r.a, dia berkata bahawa Rasulullah SAW menghadap kepadanya dan para sahabat, kemudian beliau bersabda: "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara andainya kamu ketepikan maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT semoga kamu tidak menemui saat itu. Tidak terserlah zina pada suatu kaum sehingga mereka melakukan terang-terangan kecuali mereka akan ditimpa taun yang cepat merebak di kalangan mereka dan mereka dimusnahkan oleh penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat terdahulu. Dan tiada mereka mengurangi sukatan dari timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dansusah mencari rezekidan berlaku zalim daripada kalangan pemimpin mereka. Dan tiada mengeluarkan akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka hujan dari langit. Jika tiada binatang, tentu mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT. Dan tiada mereka mungkir janji Allah dan Rasulnyakecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. Dan apabila pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan di saat itu Allah jadikan peperangan sesama mereka.